Isu Pendidikan Di Malaysia







Berdasarkan buletin astro awani tersebut telah merungkai isu berkaitan sukatan pelajaran terlalu padat menyebabkan kekangan pengajaran alaf 21. Pengarah Global School Leaders Malaysia, Cheryl Ann Fernando berkata teknologi hanya alat, namun kemahiran menjadi keutamaan pertama.

Hal ini menyebabkan timbulnya isu seperti guru kurang kemahiran pedagogi. Keberkesanan suatu sesi pembelajaran adalah apabila setiap kandungan kurikulum dan cara penyampaian guru tersebut dapat difahami oleh pemikiran pelajar. Pengajaran yang efektif ialah hasil daripada pembelajaran terakhir yang berjaya dicapai mengikut objektifnya.

Sebenarnya isu sebegini tidak akan timbul jika setiap guru dapat mengaplikasikan kemahiran pengurusan bilik darjah PAK21 dengan berkesan. Jika kaedah pengajaran dapat disusun dengan betul sudah tentu masalah sukatan pelajaran terlalu padat ini tidak akan berlaku. Standard-standard kemahiran seperti kemahiran teknologi maklumat, kemahiran pengajar dan inovasi serta kemahiran hidup dan kerjaya haruslah ada pada setiap guru. Pelbagai kemudahan dan alat bantu mengajar seperti komputer, LCD dan lain-lain telah disediakan kepada sekolah bagi membantu guru dalam menggunakan kaedah yang bersesuaian dan mampu mencapai standard perguruan. Malah kegagalan guru dalam menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut menyebabkan kaedah pembelajaran pelajar terbatas.  Kelemahan guru dalam menguasai ICT juga menjadi satu isu yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan guru dapat mencapai standard pengajaran professional.

Kelemahan dari segi pengurusan bilik pembelajaran juga merupakan punca utama isu sebegini timbul. Sebagai contoh, penyusunan bilik darjah dalam situasi pembelajaran pelajar haruslah berada dalam keadaan baik dan teratur. Jika Keadaan sebegini tidak dapat diuruskan maka ia akan menghalang sesuatu pembelajaran tersebut. Malah interaksi dalam bilik darjah juga perlu dititikberatkan dimana Interaksi dua hala antara guru dan murid haruslah bergerak secara aktif. Misalnya guru harus menggunakan pendekatan yang berlainan seperti perbincangan atau kaedah induktif. Interaksi dua hala antara murid dengan murid pula ialah guru sepatutnya menggunakan pendekatan kumpulan, kertas kerja, kaedah bermain dan lakonan sebagai aktiviti dalam p&p. Hal ini secara tidak langsung dapat menghasilkan suatu kaedah pembelajaran yang berkesan mengikut sukatan-sukatan pelajaran yang telah ditetapkan.


Namun jika dilihat dari segi pengurusan murid pula, guru-guru berasa terbeban kerana perlu menguruskan rekod murid yang terlalu banyak seperti memantapkan sistem pengurusan murid di sekolah, mengemaskini profile murid, menyediakan maklumat lengkap mengenai kemajuan pelajar dalam segala aspek perkembangan potensi (JERI) dan mengetahui perkembangan akademik, emosi, sahsiah dan tingkah laku murid. Hal ini juga menyebabkan guru-guru tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas kekangan masa yang terlalu singkat dan padat. 

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Pendidikan akan memilih 10 hingga 15 guru berkualiti untuk merakam proses pengajaran dan guru di sekolah hanya akan membimbing pelajar berdasarkan rakaman pengajaran tersebut.



Kekuatan profesion perguruan dalam memastikan hasrat melahirkan generasi berkemahiran abad-21 juga bergantung kepada kecekapan seseorang guru itu menguasai pengetahuan pedagogi. Pengetahuan pedagogi ini bukanlah berdasarkan kepada pengalaman atau pengetahuan ‘lapuk’ tradisional yang mana sistem P&P diamalkan terlalu bergantung kepada guru (teachers-centered).

Bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran abad-21 ini, seseorang guru itu ‘wajib’ mencuba untuk mengadaptasikan pedagogi inovasi teknologi di dalam P&P contohnya pembelajaran berbantukan komputer. Ini kerana pengetahuan dan kebolehan guru mengadaptasikan kaedah P&P yang inovatif akan memberikan kesan positif kepada perkembangan dan pencapaian pelajar.

Akhir sekali, setiap guru haruslah bersatupadu dan bertanggungjawab dalam menguruskan dan mengaplikasikan segala kemahiran-kemahiran yang telah didedahkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) agar masalah isu sukatan pelajaran terlalu padat ini tidak akan timbul lagi.

Comments